Sunday, February 12, 2006

Krisis yg dihadapi umat Islam hari ini

Maaf, jika tajuk ini telah menjadi cliche, tapi saya fikir ia masih pertinent, terutama sekali hari ini.

Saya fikir krisis yg terbesar ialah krisis intelektual. Kita kurang atau tidak kuasa berfikir lebih sedikit dari 'kebiasaan' - yang memangnya sedikit, sebaliknya lebih terbawa-bawa oleh emosi. Kita cepat marah, cepat bertindak tanpa memikir panjang. Kita membuat sesuatu tetapi tidak memikir kesan jangka panjangnya terhadap kita, Islam, ummah dan dunia; atau mungkin kita memikirnya tetapi 'tidak sampai' - ini akibat kelemahan pemikiran kita.

Sering dikatakan "kita, umat Islam hari ini harus kurangkan bercakap, kita mesti jadi "man of action"! Andaiannya ialah kita telah banyak bercakap - yang maksudnya berteori: berfikir, berbincang, berhujah dan bercakap.

Nah, apa yang kita mahu sudah kita dapat. Di beberapa tempat disekeliling dunia sejak akhir-akhir ini, umat Islam berdemonstrasi dan merusuh atas isu "kartun Nabi" siaran sebuah akhbar Denmark.

Siapa yang tidak marah melihat Nabi s.a.w. yang dikasihi dipermain-main, diperhina dan diperlekehkan dengan cara yang begitu provokatif dan jelek sekali. Dan ini semua dengan alasan kebebasan bersuara, yang tentu tidak dapat diterima oleh akal yang rasional.

Namun persoalannya ialah adakah respons sebahagian umat Islam bijak dan boleh diterima. Berdemonstrasi secara aman memang amalan yang boleh diterima. Tetapi bagaimana dengan merusuh hingga merosakkan harta benda awam atau memudaratkan nyawa? Bagaimana dengan membakar bangunan, mahupun seperti bangunan kedutaan Denmark di Beirut, dan kedutaan Denmark dan Norway di Damsyek.

Adakah perbuatan ini semata-mata akibat kecintaan kepada Nabi s.a.w. dan untuk menjaga maruah Islam, atau pun ia sudah bercampur-aduk dengan runtunan nafsu? Action memang menyeronokkan jika ia tidak terlampau merbahaya seperti yang terdapat di Iraq dimana setiap hari nyawa menjadi pertaruhan, dan jika kemungkinan untuk ditangkap oleh pihak berkuasa adalah tipis - ini benar jika yang dikecam adalah pihak di luar negara dan bukan kerajaan sendiri.

Jika Nabi s.a.w. masih hidup, agaknya adakah baginda akan bergembira melihatnya? Adakah maruah Islam terbela dan imejnya sebagai 'agama' aman menjadi lebih terserlah? Atau adakah segala tuduhan liar media Barat bahawa Islam membendung keganasan menjadi 'terbukti'!

Kenapakah pula tidak diambil tindakan drastik seperti itu untuk kes-kes anti-Islam yang terbit dalam negara sendiri? Ketidakadilan, penindasan, pilih-kasih, pemerasan, rasuah, pembaziran, dan pengekangan ke atas kebebasan bersuara serta lain-lain hak asasi manusia - ini semua adalah juga penghinaan terhadap Islam dan Nabi. Kenapa tiada tindakan bersungguh dan merata, walau hanya yang 10% sedrastik yang diatas, atau walau hanya yang menggunakan pena?

Mungkin jawapannya ialah kita tidak lagi mampu menggunakan otak, sebaliknya menyerah saja kepada hati dan perasaan. Tapi tidakkah orang dulu-dulu dengan bijaksana mengatakan, "Ikut hati mati, ikut rasa binasa."

Kita kekurangan The Voice of Reason dalam dunia Islam, yang hujah-hujah mereka cukup berkesan sehingga boleh menghalang kuasa ketenteraan dan keganasan. Dimanakah orang-orang Islam, para intelek dan sarjana, yang boleh diharapkan untuk menjadi Voice of Reason ini? Dimanakah mereka, dan apakah yang mereka sedang buat? Dimanakah Naom Chomsky, Edward Said dan Robert Fisk kita sendiri? Atau adakah selama-lamanya kita akan terus bergantung kepada mereka dan penulisan mereka untuk bercakap bagi pihak kita?

Perjalanan dunia banyak dipengaruhi oleh idea dan ideologi. Disebalik setiap perbuatan, perusahaan dan pembangunan, setiap peluru yang ditembak dan setiap bom yang digugurkan, ada ideologinya. Idea, teori dan ideologi ini dijana oleh orang-orang yang duduk diatas kerusi empuk, dan jarang menjejak kaki ke tanah apatah lagi berdemonstrasi.

Kita perlu lebih memikir.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

PostBaru Online Users

visitors since 8 March 2006