Wednesday, February 15, 2006

Sebagai bantahan kepada penerbitan kartun Nabi oleh akhbar Denmark Jyllands-Posten, umat Islam di merata dunia telah mula memboikot barangan keluaran negara tersebut. Akibatnya, Denmark kerugian beratus-ratus juta ringgit. Di Timur tengah sahaja, sebuah pengeluar makanan Denmark yang terkenal, Arla Foods, sedang mengalami kerugian lebih RM6.8 juta setiap hari. Dan antara negara yang paling banyak "menyumbang" kepada kerugian tersebut adalah negara-negara Teluk yang kaya itu seperti Qatar dan Kuwait di mana pasaraya-pasarayanya juga turut serta secara langsung - suatu langkah yang terpuji.

Ini menunjukkan umat dan negara-negara Islam, jika bersatu, mampu memberi kesan, negatif atau positif, terhadap negara-negara Barat seperti Denmark. Ia memberi kepuasan kepada kita umat Islam kerana ia bererti kita tidak perlu melihat sahaja apa yang mereka buat terhadap kita. Kita juga mampu bertindak.

Namun, dalam merayakan "kejayaan" ini, kita mungkin terlepas pandang terhadap keadaan sebenarnya. Pemboikotan ini telah menelanjangbogelkan suatu kelemahan besar yang terdapat pada kita. "Kejayaan" ini menunjukkan kegagalan kita selama ini.

Tidak mungkin kita dapat memboikot barangan Denmark jika kita tidak selama ini membelinya. Lagi banyak kerugian kepada Denmark yang kita sebabkan, bererti lagi banyak pergantungan kita kepada negara itu selama ini. Dan negara-negara Islam juga banyak bergantung kepada negara-negara Barat yang lain untuk keperluan strategik seperti makanan dan bekalan perindustrian. Arla Foods sahaja mengekspot makanan bernilai RM1.6 bilion ke Timur Tengah setiap tahun.

Inilah kelemahan kita yang besar. Ia berlaku kerana struktur ekonomi kita lemah dimana kita terpaksa menampung hasil pertanian kita dengan banyak mengimpot bahan makanan dari "musuh-musuh" kita.

Namun, berkemungkinan tidak lama lagi kita akan memikirkan bagaimana caranya untuk menamatkan pemboikotan ini tanpa merasa malu kepada Denmark dan rakan-rakannya di Barat. Ini kerana berapa lamakah Tok-Tok Sheikh itu boleh tahan tanpa Danish Brie atau Camembertnya yang sudah hampir menjadi makanan asasi mereka? Adakah kurma, roti, daging unta dan susu kambing memadai setiap hari untuk orang-orang yang telah biasa dengan Norwegian salmon dan Russian caviar? Sempurnakah sarapan pagi tanpa mentega, atau minuman petang tanpa Butter Cookies buatan Denmark ?

Walaupun jualan merosot, syarikat-syarikat yang terlibat masih boleh hidup, cuma keuntungannya sahaja berkurangan. Namun, adakah kita masih boleh hidup - pada tahap dan gaya yang kita inginkan - jika pemboikotan ini berterusan agak lama?

Apa kata kalau syarikat-syarikat itu "tolong" sambung pemboikotan itu bagi pihak kita untuk jangka masa yang begitu lama - mereka tidak mahu jual kepada kita? Lebih teruk lagi, bagaimana kalau negara-negara Barat memboikot barangan kita pula? Dan lebih parah, bagaimana kalau mereka bukan sahaja memboikot - tidak mahu membeli - barangan kita, mereka juga tidak mahu menjual kepada kita - mereka berhenti berniaga dengan kita?

Kemungkinan besar senario diatas tidak akan berlaku kerana sebagai entiti perniagaan, dan dengan syarat tiada tekanan politik atau kerajaan, syarikat-syarikat itu akan menjual bila kita ingin membeli. Namun, mereka mungkin tetap tersenyum dalam hati. Mereka tahu di mana kelemahan kita.

Apa yang harus kita sedari ialah betapa sensitif, lemah dan bahayanya keadaan kita ini, ibarat "retak menunggu belah". Ini sesuatu yang kita telah terfikir tetapi mungkin tidak "termengaku"! Ini kerana pengakuan menuntut kepada tindakan yang kita - individu, pertubuhan dan kerajaan - sama-sama telah persetujui untuk tidak melakukannya kerana ia susah, ia menuntut pengorbanan, tolak ansur atau kompromi dan kesanggupan untuk beralah demi matlamat dan maslahat yang lebih besar dan berjangka panjang.

Adakah kita lebih cenderung berpegang kepada prinsip "biar sama-sama hancur, asal jangan ada satu yang berjaya lalu mendapat nama?" Kita mungkin tidak lagi bercakaran sesama sendiri, ini baik. Tetapi adakah alternatifnya ialah bersetuju untuk mengenepikan dan tidak memperdulikan sesama sendiri - "don't scratch my car, and I won't scratch yours." Untuk orang dan kumpulan yang mengaku mengikut Islam dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w., ini belum cukup baik kerana kita sepatutnya mampu pergi lebih jauh.

"Constructive engagement" sesama kita adalah perlu. Jika toleransi amat diperlukan, ia adalah sesama kita. Kita tidak boleh berterusan dengan sikap "self-denial" terhadap masalah yang kita hadapi sesama kita. Kita harus berubah, atau kehancuran menanti.

Yang mana satu pilihan kita?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

PostBaru Online Users

visitors since 8 March 2006