Monday, October 31, 2005

Sebulan saja: Ramadhan

Kebiasaannya begitulah. Bulan Ramadhan, penuhlah mesjid. Alhamdulillah. Dan masjid pun banyaklah aktiviti, dari Solat Tarawih hingga ke Tadarus al-Qur'an hingga Qiyamullail. Ada mesjid yang mendapatkan khidmat hafiz Qur'an, tentunya dengan belanja yang agak lumayan, sesuai dengan taraf hafiz. Alhamdulillah. Kemurahan hati AJK mesjid banyak membantu iaitu dari segi menjamu orang berbuka puasa, morey selepas Tarawih, sahur, dan kemudahan ber'iktikaf. Demikian juga nasihat2, dorongan2 para penceramah dan khatib. Alhamdulillah.

Namun selepas Ramadhan, malah biasanya beberapa hari lagi sebelum berakhir Ramadhan, suasana mula menuju 'sediakala'. Namun daya tarikan Lailatul Qadr memperlahankannya sedikit.

Rupa-rupanya Ramadhan menjadi bulan untuk all-out memunggah dan menghabiskan "segala-gala"nya.

Apa hendak dihairankan. Bukankah para pemerangsang pun berkata: "Hanya sebulan. Pulunlah. Sebulan saja all-out."

Ya, sebulan saja, dan setakat sebulan.

Lalu Ramadhan berlalulah bukan sebagai pemangkin, recharger, penguat, penyedia, dan pemulih untuk bulan-bulan mendatang supaya ia menjadi lebih bertenaga tetapi sebagai penghabis dan penamat yang kemuncaknya dirayakan dengan penuh kelegaan. Terpunggah sudah segala beban!

Juga Ramadhan rupa-rupanya adalah bulan grand finale untuk dimahkotakan anugerah2 tertentu, bukan latihan untuk perjuangan yang akan diteruskan dalam bulan-bulan mendatang . Ramadhan itu rupa-rupanya kemuncak, bukan "kaki gunung" tempat persedian dan penyediaan. Patutlah kekuatan yang terserlah dalam bulan Ramadhan bertukar menjadi kelesuan dalam bulan2 lain.

Dan Ramadhan - dalam bulan ini "jangan bercakap bohong, mengumpat, mengata, memfitnah, ya." Sabar, tunggu hingga bulan depan! Tunggu, hanya sebulan.

Tahun demi tahun, itulah kisahnya, berulang-ulang sepertinya cerita budak-budak putus jari atau buta mata main mercun atau meriam buluh. Untuk anak, ayah, ibu - ceritanya sama saja. Dan bila anak jadi ayah, dan ayah jadi datuk, ceritanya masih sama.

Bilakah Ramadhan akan dikakigunungkan sebagai tempat penyediaan, dan Ramadhan2 seterusnya menjadi stesyen2 tempat berhenti menambah bekalan dalam penitian yang terus-menerus menaik dari bulan ke bulan, hinggalah sampai ke puncak yang sudah tentunya di hujung waktu?

PostBaru Online Users

visitors since 8 March 2006